Wednesday, January 5, 2011

DEWI REMAJA 2010 KE TITIK AKHIR....



Alhamdulillah.. Pencarian Dewi REMAJA (PDR) 2010 sudah menemui noktahnya. Tidak ada perkataan lain yang dapat diungkap, melainkan LEGA!

Saya menerima cabaran untuk membawakan PDR musim kelapan ini diterjemahkan ke program realiti dan ditayangkan di kaca TV melalui Astro Ria dengan hati yang 50 yakin - 50 tak berapa yakin. Satu kejutan buat saya apabila pihak syarikat tempat saya bekerja iaitu Grup Media Karangkraf, memberikan amanah dan tanggungjawab untuk saya lead pasukan PDR 2010 ini. Bukan mudah untuk menjalankan tugasan ini. Biar pun saya diselia oleh bos-bos besar, namun mereka memberikan sepenuh kepercayaan buat saya dan Team Remaja merealisasikan cabaran ini. Dengan semangat 50-50 itu, saya gagahkan diri juga untuk melaksanakan tugas ini biarpun terlalu banyak cabaran dan dugaan yang sangat menguji kekuatan minda, emosi, fizikal, kredibiliti dan capability saya. Inilah klimaks dalam karier saya selama 11 tahun berada dalam dunia penerbitan.

Kalau hendak diceritakan, memang terlalu panjang. Dan banyak juga perkara yang terpaksa disimpan sendiri. Apa pun saya menganggap PDR 2010 ini penuh bitter and sweet memory!

8 Disember lalu, PDR 2010 ke pentas akhir. Dewan Tun Hussein Onn, PWTC menjadi lokasi pilihan. Dengan kehadiran 500 tetamu, finale ini dirakamkan secara langsung dan disiarkan di Astro sebulan kemudian. Ini merupakan minggu ketujuh Dewi REMAJA 2010 ditayangkan di TV. Bermula 24 November dan selama 6 minggu berturut-turut ditayangkan episod rentetan perjalanan PDR 2010 di mana para penonton boleh melihat aksi-aksi finalis di kaca TV.

Tak perlulah nak mengulas panjang... Nanti boleh baca selanjutnya di MAJALAH REMAJA keluaran 15 Januari 2011. Apa pun sekalung tahniah buat Neelofa kerana berjaya menambat hati pihak juri dengan mendapat markah tertinggi. Tempat kedua pula disandang oleh si comel Izara Aisya dan bakal doktor, Shangkaree yang juga merupakan satu-satunya gadis berbangsa India di dalam musim ini mendapat tempat ketiga. Ros Ramona dan Mas Hazirah pula berjaya terpilih ke Top 5. Biar pun tidak memenangi apa-apa gelaran, namun 15 finalis (termasuk 6 orang yang tersingkir awal) iaitu Tilla, Mia, Fiza, Anzalna, Azar, Zarina, Nadiey, Aidam Azura, Nurina, Niena dan Intan, tetap memegang gelaran Finalis Dewi Remaja 2010 selama-lamanya. Diharap mereka boleh menggunakan gelaran ini untuk mencari platform di dalam bidang glamor (jika mahu). 

Cuma pesanan saya, jadilah diri sendiri, jangan berubah laku, jangan DIVA dan jangan demand!


Terima Kasih orang-orang kuat saya....Team REMAJA....


Salah satu adegan untuk episod ke 4.....


Nota Kaki: Nantilah saya post kan pix semua finalis....




Saturday, January 1, 2011

AL FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM FAIZAL YUSOF...

Faizal Yusof Meninggal Dunia
Oleh FERIDE HIKMET ATAK


KUALA LUMPUR: Pelakon Mohd Faizal Yusup, 33, meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) di sini, Sabtu, kira-kira pukul 1.45 petang akibat serangan jantung.

Menurut abangnya, Shaiful Yusup, 35, Allahyarham rebah ketika berada di bilik air rumahnya di Sentul.

Akibat kejadian itu, Shaiful dan isteri Mohd Faizal iaitu Rosmunira Rashid, 27, membawa Faizal ke Pusrawi untuk mendapatkan rawatan kira-kira pukul 10 pagi.

"Ketika di hospital, Faizal mengadu dadanya sakit dan berusaha untuk bangun sendiri tetapi saya halang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusrawi di sini, Sabtu.

Tambah Shaiful, ketika di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung apabila salah satu saluran pada jantungnya tersumbat.

Bagaimanapun, keadaannya menjadi semakin kritikal sehinggalah dia disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, bekas isterinya, penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 25, yang ditemui berkata Faizal ada menghubunginya beberapa hari lalu untuk bercakap dengan anak mereka, Muhammad Rayyan Nakhaie, 2, tetapi anaknya tiada bersama Nana pada ketika itu.


Bagaimanapun, pada petang Sabtu, Nana mendapat panggilan telefon mengatakan Faizal dimasukkan ke hospital dan dia mahu melihat anaknya.

Berikutan itu, Nana sempat membawa Muhammad Rayyan ke hospital dan Faizal sempat berjumpa dengan anaknya itu.

Selepas berpisah dengan Nana, Faizal mendirkan rumahtangga dengan Rosmunira yang kini mengandung lima bulan pada awal tahun lalu.

Turut kelihatan menziarahi Allahyarham di hopsital, pelakon Amyza Aznan, Zulkifli Ariffin, Pierre Andre, Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Liyana Jasmay dan Tania Hudson.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Sentul, Sabtu dan dijadualkan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, Selangor kira-kira pukul 10 pagi Ahad.



Credit : UTUSAN ONLINE

Saya mengenali allahyarham sejak 2001 lalu. Ketika itu arwah antara finalis Hero Remaja 2001/02 (sama batch dengan pelakon Zed Zaidi). Mengenali arwah, dia seorang yang suka melawak, suka menyakat dan agak notty...  Semasa saya menjadi krew mengendalikan event tersebut, saya sering bergaduh dengan arwah.. Sebabnya dia suka menyakat dan nampak tak serius. Tapi masa final, arwah betul-betul serius di pentas. Selepas Hero Remaja, arwah memasuki bidang lakonan dan terus menyerlah sehingga sekarang.

Sudah lama saya tidak menemuinya, hanya mengikuti perkembangannya melalui media masa. Dan hari ini, dalam jam 3 petang, saya menerima SMS dari Zed Zaidi tentang pemergian allahyarham. Sukar untuk diungkapkan....sedih. Biar pun tidak mengenalinya secara rapat, namun sebagai seorang yang pernah bekerjasama dengannya, saya turut merasai kehilangannya. Apatah lagi drama bersiri lakonannya, Tiramisu, sedang rancak ditayangkan di kaca TV. Lakonannya sangat berkesan, berikan saja apa jua watak, pasti beliau dapat melakonkannya dengan jaya. Hinggakan ayah saya turut memuji lakonannya.

Faizal...semoga roh mu dicucuri rahmat dan bersemadilah dengan tenang... Al Fatihah...

Nota kaki : Simpati dengan anak arwah bersama Nana, Rayyan & anak yang sedang dikandung isteri barunya....

GOOD BYE 2010 & WELCOME 2011!


Alhamdulillah.... Allah mengizinkan kita melangkah ke tahun baru masihi sekali lagi. Ya..begitu pantas masa berlalu tanpa kita sedari. Kini kita melangkah ke tahun 2011... Syukur kepada Yang Maha Esa.

Sejujurnya 2010, secara personal bagi saya, amat-amat mencabar. Diberi tugasan yang tidak terduga, disusuli dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang saya rasakan..klimaks dalam kerjaya saya. Namun, syukur alhamdulillah...dengan sokongan keluarga dan teman-teman, saya dapat melaluinya. Biar pun perit, pedih, sebak, sayu, STRESSED... saya menempuhinya dengan hati yang galau tetapi terpaksa dikebalkan hati ini. Inilah antara sesuatu yang perlu diperjuangkan di dalam hidup saya. Itulah semangat yang saya terpaksa memaksa diri untuk menerimanya. Walau bagaimana pun saya akur pada takdir. Inilah takdir saya....

2011...saya sangat berharap ia akan memberikan pelbagai ketenangan, kesabaran, keceriaan dan kegembiraan buat saya. Dalam hati, ada sesuatu yang saya nantikan.... Tapi biarlah ia menjadi rahsia antara saya dengan Yang Maha Pencipta.

Saya berharap agar 2011 ini memberikan sinaran dan cahaya yang menyenangkan buat kita semua.... Insyaallah.


Nota kaki : 2011....please be nice to me!

Wednesday, December 29, 2010

HORAYYYY!! TAHNIAH SKUAD HARIMAU MALAYA!


Satu perasaan yang sangat teruja bila menyaksikan perlawanan bola sepak peringkat akhir Piala AFF Suzuki 2010 antara negara tercinta, Malaysia, menentang Indonesia. Perlawanan pertama yang berlangsung di Bukit Jalil menyaksikan kejayaan Malaysia menyumbat jaringan sebanyak 3 gol tanpa berbalas oleh pihak lawan. Biar pun perlawanan dihujani dengan pelbagai insiden seperti pancaran laser, balingan botol, mercun dan sebagainya sehingga memaksa pengadil mengambil keputusan untuk memberhentikan perlawanan buat seketika, namun akhirnya berbaloi juga apabila tuah menyebelahi pasukan kita.

29 Disember, perlawanan peringkat kedua pula berlangsung di Jakarta, biar pun Malaysia tewas 1-2 dengan Indonesia, namun dengan agregat 4-2, akhirnya buat pertama kali Piala AFF Suzuki menjadi milik kita. Untuk pemain Harimau Malaya seperti Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talha, corak permainan mereka wajar menerima pujian tinggi. Tak lupa juga kepada kesemua barisan pemain termasuk jurulatih skuad kebangsaan, Rajagopal di mana percaturan yang dibuat memang menjadi.

Malaysia Boleh!


Nota Kaki : Dah lama tak bersorak tatkala menonton perlawanan bola sepak semenjak Selangor semakin sendu......

Saturday, December 18, 2010

BREAKING NEWS : SM NASA-MARION ROSE COUNTER ABDULLAH HAPPILY EVER AFTER....


Setelah 5 tahun menyulam cinta, akhirnya CED Nasim, SM Nasa, mengahwini selebriti TV terkenal, Marion Counter. Walau pun banyak kontroversi melanda, namun pasangan ini tetap tegar meneruskan hubungan. Mengambil berkat Jumaat, 17 Disember, pasangan ini memeterai hubungan dengan ikatan perkahwinan. Semoga berkekalan....

Nota Kaki : Bila orang terlalu kaya buat majlis kahwin....WOW!

Friday, December 3, 2010

SPEKULASI : MINYAK RON95 NAIK HARGA?

Minyak RON97 sudah RM2.30 seliter... Petang tadi sudah mendengar perkhabaran RON95 bakal dinaikkan lagi. Wow! Berita baikkah ini? Jam 9 malam, dalam perjalanan pulang ke rumah, kebanyakan stesen minyak penuh! Sensasi sungguh berita ini bukan?

Apa yang pasti kenaikan harga minyak ini secara automatiknya akan membuatkan harga barangan turut naik.... percayalah! Apa pun rasanya rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan keadaan ini. Betul tak?

Nota Kaki : Ramai yang speku kata RON95 membuatkan kenderaan berisiko tinggi untuk terbakar jika terbabit dengan kemalangan? Benarkah? Dan ada juga yang mengatakan RON95 boleh membuatkan enjin kenderaan cepat kotor dan rosak? Benarkah? Oh....apakan daya. 

BREAKING NEWS : Bekas Permaisuri Agong saman Syed Abdullah, Syed Hussein



KUALA LUMPUR 3 Dis. – Bekas Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman hari ini memfailkan saman terhadap pakar paranormal, Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers kerana telah bertindak melanggar maklumat sulit baginda.
Siti Aishah yang juga sebagai plaintif turut memfailkan saman ke atas bapa kepada Syed Abdullah iaitu Syed Hussein Al-Attas yang merupakan defendan kedua.
Berikutan itu, tarikh pendengaran interparte ditetapkan pada 22 Disember ini di Temerloh, Pahang.
Dalam saman tersebut, Siti Aishah memohon perintah injuksi bagi melarang defendan pertama, Syed Abdullah dan defendan kedua, Syed Hussein untuk tidak mendedahkan sama ada secara lisan atau dalam blog-blog, surat khabar atau wakil-wakil mereka sebarang maklumat mengenai plaintif. – Utusan



Nota kaki : Tu laa..tak baik mengaibkan orang dan membuka pekung di dada sendiri. Nah! Kain siapakah yang jarang dan terkoyak sekarang?