Saturday, January 1, 2011

AL FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM FAIZAL YUSOF...

Faizal Yusof Meninggal Dunia
Oleh FERIDE HIKMET ATAK


KUALA LUMPUR: Pelakon Mohd Faizal Yusup, 33, meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) di sini, Sabtu, kira-kira pukul 1.45 petang akibat serangan jantung.

Menurut abangnya, Shaiful Yusup, 35, Allahyarham rebah ketika berada di bilik air rumahnya di Sentul.

Akibat kejadian itu, Shaiful dan isteri Mohd Faizal iaitu Rosmunira Rashid, 27, membawa Faizal ke Pusrawi untuk mendapatkan rawatan kira-kira pukul 10 pagi.

"Ketika di hospital, Faizal mengadu dadanya sakit dan berusaha untuk bangun sendiri tetapi saya halang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusrawi di sini, Sabtu.

Tambah Shaiful, ketika di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung apabila salah satu saluran pada jantungnya tersumbat.

Bagaimanapun, keadaannya menjadi semakin kritikal sehinggalah dia disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, bekas isterinya, penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 25, yang ditemui berkata Faizal ada menghubunginya beberapa hari lalu untuk bercakap dengan anak mereka, Muhammad Rayyan Nakhaie, 2, tetapi anaknya tiada bersama Nana pada ketika itu.


Bagaimanapun, pada petang Sabtu, Nana mendapat panggilan telefon mengatakan Faizal dimasukkan ke hospital dan dia mahu melihat anaknya.

Berikutan itu, Nana sempat membawa Muhammad Rayyan ke hospital dan Faizal sempat berjumpa dengan anaknya itu.

Selepas berpisah dengan Nana, Faizal mendirkan rumahtangga dengan Rosmunira yang kini mengandung lima bulan pada awal tahun lalu.

Turut kelihatan menziarahi Allahyarham di hopsital, pelakon Amyza Aznan, Zulkifli Ariffin, Pierre Andre, Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Liyana Jasmay dan Tania Hudson.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Sentul, Sabtu dan dijadualkan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, Selangor kira-kira pukul 10 pagi Ahad.



Credit : UTUSAN ONLINE

Saya mengenali allahyarham sejak 2001 lalu. Ketika itu arwah antara finalis Hero Remaja 2001/02 (sama batch dengan pelakon Zed Zaidi). Mengenali arwah, dia seorang yang suka melawak, suka menyakat dan agak notty...  Semasa saya menjadi krew mengendalikan event tersebut, saya sering bergaduh dengan arwah.. Sebabnya dia suka menyakat dan nampak tak serius. Tapi masa final, arwah betul-betul serius di pentas. Selepas Hero Remaja, arwah memasuki bidang lakonan dan terus menyerlah sehingga sekarang.

Sudah lama saya tidak menemuinya, hanya mengikuti perkembangannya melalui media masa. Dan hari ini, dalam jam 3 petang, saya menerima SMS dari Zed Zaidi tentang pemergian allahyarham. Sukar untuk diungkapkan....sedih. Biar pun tidak mengenalinya secara rapat, namun sebagai seorang yang pernah bekerjasama dengannya, saya turut merasai kehilangannya. Apatah lagi drama bersiri lakonannya, Tiramisu, sedang rancak ditayangkan di kaca TV. Lakonannya sangat berkesan, berikan saja apa jua watak, pasti beliau dapat melakonkannya dengan jaya. Hinggakan ayah saya turut memuji lakonannya.

Faizal...semoga roh mu dicucuri rahmat dan bersemadilah dengan tenang... Al Fatihah...

Nota kaki : Simpati dengan anak arwah bersama Nana, Rayyan & anak yang sedang dikandung isteri barunya....

No comments:

Post a Comment