... empat semester yang indah...Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”
Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?
* * * *
IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.
Ini kali kedua aku terjebak dengan karya Imaen selepas Bohemian. Bagi aku, karya Imaen cukup senang difahami kerana penggunaan gaya bahasanya yang dekat dengan kita. Bukan itu saja, jika kebanyakan penulis novel sering kali menggunakan plot yang cliche, namun Imaen tetap memilih untuk pendekatan berbeza.
Seperti mana Blues Retro, plot yang begitu berbeza biar pun melibatkan kisah perjuangan seorang pelajar yang kecundang pengajiannya ekoran terbabit dengan demostrasi. Ghazi yang berasal dari keluarga yang susah menjalinkan hubungan intim dengan Nik Farhana yang berketurunan kerabat bangsawan. Tentangan daripada keluarga Farhana hingga membuatkan hubungan mereka terpaksa terlerai begitu sahaja.
Blues Retro bukan membawakan kisah cinta antara dua darjat dan cinta yang tidak kesampaian semata-mata, sebaliknya lebih kepada kisah perjuangan seseorang yang begitu mahukan hidupnya berjaya dengan kaki-tangannya sendiri iaitu BERDIKARI. Imaen membentuk watak utamanya, Ghazi, sebagai seorang yang optimis dan positif biarpun hidupnya sering kali sempit dan sesak. Namun Ghazi meletakkan satu penanda bahawa dia mampu mengubah hidupnya menjadi lebih cerah dan sempurna atas usahanya sendiri. Itu nilai positif yang tersemat di dalam Blues Retro.
Tahniah buat Imaen, novelis bergender lelaki!
No comments:
Post a Comment