Memang generasi baru tidak hidup pada zaman komunis. Tetapi pasti ramai yang mengetahui betapa kejamnya komunis pada zaman sebelum kemerdekaan. Sesiapa yang pernah menonton filem Bukit Kepong arahan Dato' Jins Samsudin, pasti berlinangan air mata pabila melihat barisan polis termasuk keluarga dibunuh selepas diserang oleh pihak komunis. Mengikut sejarah, pihak komunis turut membunuh wanita dan kanak-kanak. Malah ada yang dicampak hidup-hidup di dalam api. Nah! Kejam tak kejamnya komunis. Bahkan bangsa mereka sendiri juga diperlakukan sebegitu rupa. Ya! Ternyata merekalah si bangsat yang mengkhianati bangsa, agama dan negara.
Jadi mengapa mudahnya Mat Sabu mencipta kontroversi murahan sedemikian rupa? Biar pun dia seorang yang jahil dengan sejarah, namun sebagai seorang umat Islam, usahlah berlaku sedemikian rupa. Tindakannya menggambarkan yang dia sendiri begitu dangkal pemikirannya. Dan ini pastinya memberikan gambaran yang negatif terhadap PAS sendiri. Ops! Orang-orang PAS pun mendiamkan diri termasuk Mursyidul PAS iaitu Tuan Guru Nik Aziz. Mungkin TGNA 'tak kuasa' nak bersuara dan melayan kisah murahan sebegini.
Mat Sabu...seperti meludah ke langit dan ludahannya tertempek di muka sendiri. Sudah-sudahlah melakukan kontroversi murahan. Bikin orang benci 'tahap dewa'! Nanti namanya kekal sehingga ke akhir zaman sebagai seorang individu bangang yang membangkit kebencian orang. Mahukan dirinya setelah kematiannya, masih disebut-sebut, dimaki-maki, dikeji-keji? Fikirkanlah.....
Nota kaki : Mat Sabu yang semakin sebu.......usah mencari populariti!
Utusan Malaysia 13/09/2011
Filem Bukit Kepong berdasarkan sejarah sebenar - Jins
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Filem Bukit Kepong yang mengisahkan serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong dibuat berdasarkan sejarah sebenar tragedi berdarah pada 23 Februari 1950 itu, bukannya mengikut perspektif UMNO seperti dituduh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Pengarahnya, Tan Sri Jins Shamsuddin berkata, beliau membuat penyelidikan rapi dengan menemu bual bekas anggota komunis yang terbabit dalam serangan itu, waris mangsa serta ahli keluarga terdekat Muhammad Indera, lelaki tempatan yang bersekongkol dengan pengganas komunis. Justeru itu, beliau menolak kenyataan Mohamad atau Mat Sabu yang menganggap 200 anggota Pasukan Kompeni Keempat, Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka dalam tragedi itu, ialah hero sebenar.
Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan kononnya Muhammad Indera mengetuai operasi itu bagi 'mengajar' anggota keselamatan yang mabuk. "Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Mat Sabu bahawa filem ini dihasilkan berdasarkan perspektif UMNO hanya kerana saya ahli UMNO. Filem ini digarap berdasarkan fakta sejarah yang sebenar dan saya sendiri menetap di Pagoh, Johor selama setahun.
"Saya sendiri membuat penyelidikan dan hasil penyelidikan tersebut, faktanya langsung tidak bercanggah dengan apa yang diberikan oleh pihak polis. Malah, ahli keluarga Muhammad Indera sendiri datang berjumpa dengan saya bagi berbincang mengenai filem ini.
"Muhammad Indera terlibat secara langsung dalam serangan ini. Benar dia tidak membunuh dan ada menyuruh beberapa mangsa supaya melarikan diri tetapi hasil arahan dia yang menyebabkan 25 nyawa menjadi korban," katanya kepada pemberita di Studio Panca Delima di sini hari ini. Beliau mengadakan sidang akhbar khas itu bagi mengulas kenyataan biadab Mat Sabu yang memperlekehkan pergorbanan anggota keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong, sebaliknya mengagungkan pula pengganas komunis sebagai hero sebenar.
Mat Sabu semasa berceramah di Padang Menora, Tasik Gelugur dilaporkan berkata: "Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan sebenar, yang serang itu Mat Indera.
"Jins Shamsuddin buat filem, Jins Shamsuddin ini orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula jahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung." Mengulas lanjut mengenai penyelidikannya, Jins berkata, berdasarkan keterangan daripada bekas anggota komunis, mereka mengesahkan bahawa operasi itu diketuai Mat Indera dan bekas guru agama tersebut yang bertanggungjawab mengarahkan serangan melalui tiupan trompet.Tambahnya, operasi berkenaan juga dirancang dengan begitu rapi dan pengganas komunis sudah mula mengambil posisi dari atas Bukit Kepong sejak petang sebelum serangan bermula lagi.
Komunis kejam - Hamzah
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Bagi generasi muda hari ini yang tidak pernah merasai penderitaan hidup pada zaman komunis, mereka mungkin tidak dapat membayangkan kekejaman kumpulan pengganas itu.
Namun, bagi yang pernah melalui zaman tersebut seperti Hamzah Mohd. Amin, 71, trauma yang ditinggalkan daripada kekejaman komunis itu tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini.
Malah, Hamzah yang mempunyai bakat melukis turut menghasilkan beberapa karikatur anggota komunis yang sedang menyeksa tahanan sewaktu zaman keganasan kumpulan tersebut di negara ini. Menurutnya, lukisan tersebut dihasilkan beberapa minggu lalu bertujuan memberi gambaran keadaan sebenar kekejaman komunis terhadap rakyat negara ini suatu ketika dahulu terutamanya kepada generasi muda. Katanya, walaupun telah menjangkau usia 71 tahun, dia masih tidak dapat melupakan keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap rakyat dan mahu generasi pada hari ini juga mengetahui perkara itu.
"Generasi hari ini tidak mengetahui penderitaan hidup pada zaman komunis, jadi saya berusaha menghasilkan lukisan ini beberapa minggu lalu supaya mereka mendapat gambaran tentang kekejaman komunis dan mengapa kami sangat bencikan mereka. "Generasi muda hanya mendengar cerita daripada datuk dan nenek mereka tetapi tidak pernah terbayang bagaimana komunis menyeksa tahanan. Menerusi lukisan ini, saya harap mereka akan sedar tentang kekejaman komunis dan menjadikannya pengajaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hamzah cuba memberi gambaran tentang kekejaman komunis menyeksa tahanan menggunakan beberapa kaedah yang tidak berperikemanusiaan menerusi karikatur yang dihasilkannya. Berdasarkan kepada karikatur tersebut, Hamzah turut memberi gambaran tindakan komunis mengurung ahli keluarga tahanan di sebuah rumah dan kemudiannya membakar rumah berkenaan. Dia juga menggambarkan mayat-mayat tahanan itu dijadikan baja di kebun sayuran dan hasilnya pula dijadikan bekalan makanan kumpulan pengganas tersebut.
Menurut Hamzah yang berasal dari Batu Pahat, Johor, dia terpanggil untuk menghasilkan karikatur berkenaan kerana geram serta kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengangkat kumpulan pengganas tersebut sebagai hero. "Saya sangat geram dan marah apabila komunis diberikan pengiktirafan. Mereka telah melakukan pelbagai kekejaman termasuk mengoyak, memijak, melumur kitab suci al-Quran dengan najis sebelum membakarnya. Para imam serta bilal di masjid dan surau pula dipaksa memakan daging babi sebelum dibunuh.
"Bagaimana kumpulan pengganas tersebut boleh kita iktiraf?" katanya yang sanggup datang ke pejabat Utusan di sini bagi menyerahkan karikaturnya itu. Antara sumbangan Hamzah yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pelukis ialah mencipta logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan pada 1963 sehingga 1997.
No comments:
Post a Comment