Wednesday, March 30, 2011

INTERLOK...AKHIRNYA LEPAS!

Saya baru selesai membaca Interlok... itupun dipinjam dari anak jiran kerana ia dijadikan buku teks untuk pelajar Tingkatan 5.. (memang ingat nak membelinya sebelum ni...tapi niat tertangguh sebab saya tertarik dengan novel lain pulak!)

Karya Abdullah Hussin yang dikatakan penuh kontroversi kerana satu perkataan TERLARANG dari kaum India sehingga mendapat perhatian Dewan Parlimen dan kerajaan Malaysia sendiri.

Namun yang peliknya...saya tidak nampak perkataan itu harus diperbesarkan dan menjadi isu negara. Hanya SATU sahaja perkataan tersebut (oh saya tidak mahu menyebutnya) di dalam teks sastera ini.

Malah melalui Interlok, kita dapat hayati perpaduan 3 bangsa utama di Tanah Melayu. Jadi, mengapa ia menjadi isu besar????

Bab di dalam Interlok berperingkat... dimulakan dengan kisah kehidupan Seman. Kemudian Chin Huat dan akhirnya Maniam. Kemudian 3 watak utama ini dipertemukan dalam kehidupan yang sama.

Saya sudah lama tidak membaca karya berunsur sastera (Tetiba teringat karya sastera yang wajib dibaca zaman persekolahan dahulu, Kelapa Nan Sebatang, itu pun sebab saya mengambil jurusan Sastera).

Untuk mengulas tentang Interlok, seperti mana yang saya katakan tadi, tidak patut pun dijadikan isu.. Perkataan PUAKA itu tidak menjadi halangan pun. Tetapi itu bagi sayalah....

Sinopsis :
Buku Satu – Keluarga Seman.

Bahagian Buku Satu novel Interlok memaparkan kisah Seman, anak tunggal pasangan Pak Musa dan Mak Limah. Seman seorang pemuda yang gagah dan rajin tetapi tidak tahu membaca kerana tidak ke sekolah. Apabila Pak Musa sakit, secara rahsia dia meminta Seman membawa Mak Limah berpindah tanpa memberikan sebarang alasan. Akhirnya Pak Musa meninggal dunia sebelum sempat menceritakan perkara sebenar.

Setelah 27 hari kematian Pak Musa, Cina Panjang menemui Seman untuk memaklumkan bahawa Pak Seman berhutang sejumlah wang daripadanya untuk membeli tanah dan pada masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada Cina Panjang. Cina Panjang menunjukkan surat-surat hutang Pak Musa. Akhirnya Seman membawa ibunya berpindah dari kampung kerana semua harta bukan miliknya lagi.

Buku Dua – Keluarga Cing Huat
.

Penduduk kampung gempar kerana tanaman padi dimakan belalang. Keadaan ini menyebabkan Kim Lock dan anaknya Cing Huat serta beberapa orang lelaki di kampung itu berhasrat merantau mencari pekerjaan di Singapura. Di sana Kim Lock ditawarkan menjual anaknya Cing Huat tetapi ditolaknya. Selepas 30 bulan di Singapura, Kim Lok bercadang bekerja di Melaka. Bersama-sama Kim Sui, dia dan anaknya menaiki tongkang tetapi di Muar. Dia bekerja di Lukut dan di Pulau Pinang.

Akhirnya Kim Sui mengajak Kim Hock berniaga di Simpang Empat. Perniagaan mereka maju tetapi Kim Lock menjadi penagih candu hingga meninggal dunia selepas isterinya di negara China meninggal dunia. Orang Cina mendirikan sekolah Cina untuk anak-anak mereka. Cing Huat berkahwin dan dikurniakan empat orang anak. Seorang anaknya, iaitu Yew Seng rapat dengan Lazim dan keadaan ini tidak disenangi Cing Huat. Akhirnya Yew Seng keluar dari rumah ayahnya.

Buku Tiga – Keluarga Maniam

Maniam datang dari dari India dan bekerja sebagai kuli di pelabuhan Pulau Pinang. Waktu petang dia minum tuak di kedai. Dia juga mengirim wang untuk isterinya di India. Pillay tidak menyampaikan kiriman tersebut, sebaliknya isteri Maniam jatuh ke tangan Pillay akibat desakan hidup. Maniam kecewa. Dia berpindah tempat kerja dan akhirnya bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima.

Maniam berkahwin dengan Malini secara rahsia. Rahsia perkahwinannya dibongkar oleh Suppiah, orang kampungnya. Akibatnya, Maniam tidak disenangi dan dihalau keluar dari tempat tersebut. Peristiwa ini menyebabkan Malini meninggal dunia tiga tahun kemudian. Suppiah mencadangkan sekolah Tamil didirikan di kebun untuk anak-anak orang India. Raman, iaitu guru sekolah mengetahui bahawa Suppiah lari dari negaranya kerana takut ditangkap polis dan menerangkan perkara sebenar tentang Maniam kepada Perumal. Perumal menyesal atas tindakannya terhadap Maniam.

Buku Empat – Interlok

Maniam menjadi tandil di kebun getah. Apabila Seman datang meminta kerja, Maniam berusaha membantunya, lebih-lebih lagi sesudah mengetahui Seman ialah anak Musa, kawan baiknya. Maniam juga mendapatkan sebuah petak di rumah kuli untuk Seman dan ibunya yang telah keluar dari kampung mereka. Yew Seng pula lari dari rumah kerana kecil hati terhadap ayahnya yang tidak menghargainya. Dia bekerja di lombong bijih timah.

Seman melawat Kampung Nyiur Condong setelah dua tahun setengah meninggalkan kampung tersebut. Dia diterima baik oleh orang-orang kampung. Pinangannya untuk Gayah juga diterima dan dia menjadi menantu Mat Ranggi.

Penduduk Kampung Nyiur Condong gempar dengan kehadiran orang Jepun ke Tanah Melayu. Orang Melayu berpakat membantu Jepun mengusir Inggeris. Cing Huat pula cuba berbaik-baik dengan Seman. Pada suatu malam kedai Cing Huat dimasuki perompak. Pada masa yang sama juga Poh Eng berjaya melepaskan diri dan diselamatkan oleh Seman yang kemudian membawa Poh Eng kepada emaknya.

Sementara itu, pihak Jepun mencari Yew Seng yang dipercayai terlibat dengan komunis. Yew Seng yang mengetahui adiknya hilang berjaya menemukan adiknya, Poh Eng dan dibawa menyertainya ke hutan, iaitu ke markas komunis. Pada waktu petang askar Jepun pula menangkap Mak Limah, Maniam, dan beberapa orang lagi kerana disyaki membantu komunis. Maniam diseksa kerana tidak memberikan kerjasama. Seorang Inspektor berbangsa India menyoal siasat Maniam dan melalui soal siasat tersebut, barulah diketahui bahawa Inspektor tersebut ialah anak Malini, iaitu anak Maniam sendiri. Inspektor Rama Krishnan berjanji akan menolong ayahnya dan cuba membebaskan Mak Limah.

Harga barang semakin mahal. Lazim pula menyesal kerana menyokong Jepun. Dia ditangkap Jepun . Akhirnya Jepun menyerah kalah. Semua orang bergembira, terutamanya orang Cina. Orang yang menjadi tali barut Jepun diseksa. Kumpulan Kong Beng (Kuomintang) menangkap orang-orang yang bekerjasama dengan Jepun. Yew Seng yang mengenali Lazim telah membebaskannya. Poh Eng pula berjumpa semula dengan Mak Limah. Tanah Melayu diperintah oleh Inggeris semula. Orang Melayu semakin matang. Orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union. Akhirnya perlembagaan dibentuk. Pengaruh komunis pula mula berkembang semula di Tanah Melayu Orang Cina pula berpendapat mereka patut bekerjasama dengan orang Melayu dan India menentang komunis. Hasil kerjasama itu, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


No comments:

Post a Comment